Tertarik dengan judul dan patah pertamanya yang bermula; “Sakit. Semua orang pernah rasa sakit seperti ini” jadi teringin nak tahu lanjut tentang jalan ceritanya. Lagipun temanya agak bagus sebab berkaitan kesihatan mental, persahabatan, dinamik keluarga dan perihal perundangan. Kisah Azfar, Firman, Zaquan dan Jimi; empat watak peneraju naratif yang bawa aku menjelajah erti persahabatan, sifat setia dan perdebatan emosi yang berakhir dengan satu tragedi yang tak disangka.
Penceritaannya berselang antara imbas semula dan naratif semasa dalam bab-bab yang mengikut perspektif watak, mudah dihadam walaupun sarat dengan konflik dan babak-babak yang menggugah jiwa. Eksposisi watak-wataknya kemas dan perinci, gemar dengan cara penulis selitkan isu depresi dan beban kesempurnaan dalam konteks hubungan ibu dan anak. Agak terkilan baca babak-babak antara Puan Liza dan Azfar— seorang ibu sepatutnya yang ‘menjaga’ tapi masih dangkal dan menganggap kesihatan mental ini cuma perkara remeh atau minta perhatian. Hal persahabatannya aku suka; garapan watak-watak dengan refleksi realiti, perihal prejudis dan stigma tentang pesakit mental yang buat aku menyampah dengan Zaquan, tentang kepercayaan dan sifat empati juga aku rasa penulis berjaya mengolah plot Zaquan dengan berkesan bila dia sedar sekuat dan sebagus mana pun peribadi seseorang, tak semestinya dia tak akan didera dengan masalah emosi.
Naratif pertengahannya berlatar babak dalam mahkamah dengan sisi deskriptif perundangan dan perspektif cerita daripada Mikail; seorang peguambela. Sangat intens dan penuh saspens, suka babak Dr. Afiqah sebab berkaitan hal psikologi dan adegan Tuan Hakim dengan TPR Yana waktu ni. Agak senang juga nak teka jalan cerita akan ke mana tapi eksplorasi dan perkembangan naratifnya ada dinamik yang menarik; tak sabar nak tahu macam mana Mikail akan rungkaikan kisah sebenar.
Dari kisah 4 sahabat, Puan Liza, adik Azfar dan Mikail sendiri, setiapnya bagi aku pernah menghadap satu momen patah hati di sini; masing-masing dengan definisi ‘patah’nya sendiri— sesuai sungguh dengan judulnya. Tahniah kepada penulis kerana berjaya menulis sebuah representasi fiksyen yang sarat moral dan bagus dalam mengangkat isu psikologi, sosial, kekeluargaan dan bagaimana kesan meremehkan kesihatan mental boleh mendatangkan sengsara emosi kepada mangsa. 4.2 bintang untuk naskhah ini!
Terima kasih Buku JIWA untuk pemberian edisi pembaca terawal!