Pertama kali baca naskhah penceritaan semula mitos dan lagenda bujang senang dalam genre fiksyen begini. Agak menarik dan temanya pun aku suka. Misteri, mistikal dan agak sureal, gaya penulisan juga kemas walaupun naratif diisi dengan dua latar tapi penulis cermat susun eksposisi dan perjalanan plot setiap watak.
TUJUH bawa aku mengembara ke masa lampau tentang tragedi yang menimpa Nandong di tepi sungai Batang Lupar. Akibat aib dan perseteruan dua pahlawan Rumah Panjang Buan; Simalungun dan Empaling, perkampungan itu dikatakan terkena sumpahan dan dendam Simalungun yang mati bertarung dengan Empaling. Tujuh generasi berlalu dan Kampung Tanjung Sabang di tepi sungai Batang Lupar kini dilanda misteri kehilangan penduduk. Zariq yang tak betah dengan suasana pelik di kampung telah terjumpa kitab lama dan kalung berbentuk taring dalam almari arwah ibunya. Diasak rasa ingin tahu, Zariq cuba menyiasat dengan bantuan beberapa rakannya tanpa dia sedar yang perbuatannya bakal membuka pekung rahsia keluarga yang dia tidak pernah tahu.
Suka naratif Simalungun dan sahabatnya Belian; beralur klasik dan barangkali kerana berkait adat dan gaya hidup kaum Iban jadi babnya agak menarik bagi aku. Ada perinci tradisi ngayau yang agak mendebarkan juga sisipan lagenda 7 'pemuda kacak' yang mahir dalam seni bermukun. Kredit untuk penulis sebab selitkan beberapa terma bahasa Iban dalam penceritaan (glosari disertakan) dan sejarah tentang tulisan turai dan dunging yang digunakan oleh kaum Iban suatu masa dulu.
Keseluruhan plotnya berkait hal persahabatan dan keluarga, perihal janji yang dimungkiri sehingga membangkitkan kemarahan raja sungai juga tentang ritual mistik yang jauh terpesong semata kerana memuliakan adat. Naratif Zariq kadang agak serabut pada aku terutama pada bab akhir dengan tempo cerita lebih laju berbanding bab sebelumnya, namun aku gemar dengan binaan setiap karakternya yang menggugah misteri dan ada sisi aneh pada personaliti mereka yang sentiasa buat aku ingin tahu. 4 bintang untuk TUJUH!
Tahniah kepada penulis terpilih antara pemenang Sayembara FIXI Musim 3!