Naratif yang kemas dengan penceritaan berlatar masyarakat kampung berpaksi monolog seorang tua. Suka gaya bahasa penulis, klasik. Banyak hal baharu tentang rimba yang aku belajar-- dari jenis pokok, rotan dan ulam ke bagaimana cara memanggil pelanduk. Terpegun dengan ilmu akal Tukya tentang rimba, cara dan petua tebang pokok dan bina rumah. Narasi kisah yang bermain dengan emosi, karakter yang pelbagai perangai menyentuh hal keluarga dan perhubungan ayah, anak dan cucu. Kagum sekali dengan semangat Tukya, cuma tentang keras kepalanya sahaja yang aku sedikit nak marah. Perangai orang tua, nak tegur pun payah, tapi Fikri pun buat aku sakit hati jugak. Paling kasihan dengan Nek Besah, ke hulu hilir menurut saja, tidak mengiya tidak jugak menolak (tapi pulut tanak dengan kukur kelapa dan ikan masin tu asyik buat aku terliur saja).
Sahutan 'cabaran' dengan kudrat tak seberapa Tukya-- setiap bab Tukya dan cengal batu amat terkesan pada aku, berkecil hati si tua dengan kata anak dan cucu. Ia merangkum segala harapan dan hajat, maruah, ego dan kasih seorang tua. Tapi aku seakan setuju dengan Lebai At. "Jangan bongkak." Terkilan sangat dengan bab akhir.