Tertarik dengan temanya yang berkisar isu sosial, kekeluargaan dan pertanian tentang keluarga Lahuma, seorang petani yang menampung hidup dari hasil penanaman padi di 14 relung tanah sawahnya dengan bantuan Jeha, isterinya dan 7 anak perempuan mereka.
Berlatar kehidupan desa di Kampung Banggul Derdap, plotnya sangat bermain emosi namun aku suka cara penulis perincikan watak Lahuma dari awal dengan karakterisasinya yang gigih, kuat semangat dan taat pegangan agama. Penceritaannya padat dengan usaha seorang petani dalam menghadap kesempitan hidup yang hanya mampu memilih kaedah penanaman tradisional dan kepayahan bertarung dengan musim menanam yang kadang diganggu bencana alam dan makhluk perosak. Tragedi menimpa sehingga Jeha pula terpaksa menjadi ketua keluarga buat sementara, menyambung kudrat Lahuma meneruskan kerja menanam dan menjaga pokok-pokok padi sehingga tiba musim menuai.
Diksi dan efisiensi bahasanya cermat dan mudah dihadam. Mungkin sebab aku dah pernah baca karya-karya Shahnon Ahmad sebelum ini jadi dah terbiasa dengan tabiat penulis yang gemar mengulang frasa dan perspektif yang sama daripada watak-wataknya. Suka dengan naratif pertengahannya yang menggugah simpati dan empati tentang masalah kesihatan mental bila Jeha diseret ke Tanjung Rambutan kerana depresi dan masalah halusinasi yang melampau.
Dinamik watak-wataknya bagus terutamanya Sanah, anak sulung Lahuma yang bijak menggalas tanggungjawab menjaga adik-adiknya sambil meneruskan kerja-kerja tanaman dan menuai padi selepas ketiadaan Jeha. Selitan kritik sosial (ketua kampung yang berkira dan lokek membantu) dan hal moralitinya (layanan orang kampung dengan masalah kesihatan mental Jeha) juga sarat pengajaran. Sebuah naskhah dengan refleksi kehidupan dan realiti yang menarik bagi aku. Sehingga akhirnya, seperti yakin dan taatnya Lahuma dengan pegangan hidupnya; nasib dan rezeki tetap terserah saja dan kekal mengikut takdir Tuhan. 4 bintang untuk naskhah ini!