[kemaskini resensi untuk bacaan kali kedua]
Pertama kali baca novel ini 7 tahun dulu. Ingat-ingat lupa pasal plot tapi masih ingat tentang Alif yang mahu jadi seperti Pak Habibie tapi terpaksa ikut kata ibu yang mahu dia menurut langkah Buya Hamka. Tiga hari ini aku baca novel ini semula untuk cabaran membaca Ramadan anjuran kelab BOOKENDSMY.
Negeri 5 Menara bermula dalam naratif imbas semula, kisah sahibul menara-- 6 anak muda yang menuntut di Pondok Madani di Jawa Timur. Perjalanan mencari ilmu dalam fragmen rinci dari hal pembelajaran ke persahabatan dan keluarga, ia melarik antusias, impian dan angan-angan dalam mantera 'man jadda wajada'-- siapa yang bersungguh-sungguh, akan berhasil. Hal qanun yang awalnya seakan menyesakkan tapi mengajar disiplin membuka lembah perjalanan ilmu buat Alif dan angkatan sahibul menara. Ceriteranya enak dan fokus narasinya kukuh dan berlegar seiring personaliti setiap watak utamanya-- Alif, Raja, Baso, Atang, Said dan Dulmajid.
Penulis bagus menghidup watak-watak utama dan naratif novel ini seakan aku menghadapi sendiri situasi harian dan bergabung belajar. Ada beberapa hal yang aku gemar-- tentang hal sepakbola dan pidato, acara menonton Piala Thomas, Raja dan Baso yang bersepakat menyusun kamus Inggeris-Arab-Indonesia khusus buat pelajar Pondok Madani, perihal adat minangkabau dan pepatah-pepatah lama, tentang hal-hal filosofi, sejarah Islam dan ceritera para ilmuwan yang menjadi idola para sahibul menara, sisipan istilah arab dalam plot juga perihal guru-guru yang tegas namun baik hati.
Watak kegemaran aku selain Alif adalah Said. Entah kenapa terkagum sendiri dengan personaliti Said-- baik hati dan merendah diri. Juga Baso yang bijaksana dalam hafalan Quran, aku terkilan sendiri akhirnya dia terpaksa tewas tapi alasannya menyedihkan namun aku kagum semangat Baso tetap tinggi, syukur dia menemu apa yang dimahu akhirnya.
Novel yang sangat inspiratif juga mengajar akan kekuatan ikhlas dan nilai moral yang bagus. Kisah perjalanan awal watak yang berani bermimpi dan berusaha keras menghadap masa depan segagah mungkin. "Bagaikan menara, cita-cita kami tinggi menjulang. Jangan pernah remehkan impian, walau setinggi apa pun. Tuhan sungguh Maha Mendengar."
5 bintang untuk buku ini.
[resensi bacaan kali pertama]
Paling ambil masa yang panjang untuk habis baca sebab terlalu sibuk dengan dunia (eish!). Macam biasa, karya seberang memang selalunya tak menghampakan aku. Dari jalan cerita, watak, pesan-pesan yang bagus juga 'kamus bahasa arab' di tiap sudut halaman bawah, susun bahasa yang indah dan tidak dikias keterlaluan- bacaan yang tidak bosan. Novel yang buat aku mengelamun terkenang zaman sekolah, sahabat lama dan cita-cita yang diputus harap sigh. Anyway, 5 bintang untuk inspirasi dan semangat, juga untuk buat aku fikir akan masa hadapan.