Ada dua babak bergilir dalam naratif dengan dua watak utama-- Muhammad dan Kashva. Kisah Kashva bermula dengan surat Elyas (pemuda penunggu perpustakaan biara di Bashrah, Suriah) yang bercerita tentang ramalan Bahira dan apa yang disebut Zardusht berkenaan kerasulan seorang lelaki mulia. Kashva, si lelaki Persia dari keturunan penganut Zarathustra terdorong minat mahu mengetahui lebih lanjut tentang si lelaki agung merancang ke Suriah bertemu Elyas dan bersama-sama ke Yatsrib bertemu lelaki yang dikenal sebagai rasul tersebut. Menjadi buruan puak Khosrou, Kashva tersasar ke Gathas hingga ke Tibet bersama teman setia Mashya, petarung hebat Vakhshur dan si kecil Xerxes. Pelbagai rintangan dan pertemuan masa silam dihadap Kashva dalam misi bertemu Elyas dan mencari si penggenggam hujan.
Kisah Kashva diselang-seli dengan kisah Muhammad dan para sahabat baginda ketika Islam mula bertapak di Madinah dan Makkah. Penceritaannya pantas dan cermat berdasar fakta sejarah, diselit emosi dan personaliti karakter-karakter yang mencengkam. Aku gemar sekali rentetan Perang Uhud yang digubah oleh penulis. Tentang Nusaibah, perempuan pertama yang memeluki Islam dan mendapat gelaran perisai Rasulullah dan Ummu Sulaim yang turut berhadapan tentera sewaktu perang. Ada perihal Hamzah-- Sang Singa Padang Pasir yang tewas di Perang Uhud, dibelah dada dan dikeluarkan hatinya oleh Wahsyi. Tragis namun ceriteranya realis dan menarik.
Banyak hal yang aku cuma tahu pada dasar sahaja seperti kisah perkahwinan Rasulullah dan Khadijah, juga berkenaan Aisyah dan perjalanan baginda ke Makkah (peristiwa Perjanjian Hudaibiyah dengan kaum Musyrikin) diceritakan penulis dengan puitis dan mendalam. Adegan-adegan diolah kemas dan berhati-hati, walau naratif Muhammad dalam narasi orang ketiga ia masih kekal luar biasa dan enak dibaca.
Keseluruhannya ia tidaklah fokus kepada biografi semata, masih separa fiksi (tentang hal Kashva khususnya) dan diksinya barangkali agak sukar difaham sedikit kalau tidak biasa dengan bahasa Indonesia. Namun agak kagum dengan penulis yang mampu mencoret naskhah sebegini. Satu novel menarik kalau mahu tahu kisah awal kedatangan Islam, perihal sabahat-sabahat nabi dan ahli keluarga baginda yang menerima/menentang Islam (banyak sekali disebut di dalam ini) dan rentetan peristiwa penyebaran Islam di tanah Arab. 4.2 bintang untuk buku ini.