10 cerita berlatar penjajahan dan selepas perang dalam naratif cara hidup dan hal-hal remeh seharian berlegar di sekitar kisah rumahtangga, konflik perhubungan, kerjaya, persahabatan, moraliti dan sosial. Padat mesej, penuh ragam dan ada humor— suka laras bahasa dan cara penceritaan penulis yang bersahaja tapi teliti, walau tak ada twist berat dan setiap naratifnya semacam berakhir dengan hidup-diteruskan-seperti-biasa tapi masih bagi impak seronok bila habis baca.
Paling gemar cerpen Belum Baik-Baik Lagi (drama suami isteri baru kahwin dan bergaduh besar hingga keluarga pakciknya kena campur tangan), Ke Rumah Cucu (kisah datuk yang rindu cucu dan cari peluang nak menjenguk walaupun sedang uzur), Pak Yak Mahu Kahwin (kerja kahwin yang jadi tak jadi sampai riuh sekampung), Mastura (kisah perempuan joget yang dah kahwin dan meningkat usia tapi masih terasa mahu muda), Dongeng (drama cinta anak tuan rumah yang jatuh sakit) dan Amelia (kisah si suami yang ‘makan luar’ waktu isteri sedang mengandung anak ke-tujuh).
Suka juga dengan Mandi Kolam dan Kau Mesti Sunat, Kata Bapa sebab agak nostalgik, kisah si pengangkut sampah dalam Puthu juga Rumah Pak Haji Harun yang intens dengan tragedi berlatar sebuah kampung yang dibedil peluru dan bom. Keseluruhan plot cerpen-cerpennya digarap cukup emosi dengan babak-babak yang terasa ‘hidup’ dan bagi refleksi moral yang aku suka. Walau berlainan zaman dan gaya hidup tapi hal sosial dan karakterisasinya masih terasa relevan dan boleh dihubungkait dengan sikap individu, kehidupan masyarakat dan cara hidup masa kini.
Satu naskhah kumpulan cerita yang menghiburkan; ada lucu, gembira, sedih dan teruja, juga ingatan tentang hidup dan kepayahan orang-orang lama yang menghadap beban kesan dari perang dan penjajahan. 4.3/5*
(Terima kasih Buku FIXI untuk kiriman naskhah resensi MASTURA!)