15 naratif dalam tema cinta dan perhubungan; yang janggal dan rapuh atau terpaling agung, terhalang kerana keluarga, darjat dan akidah atau dipisah sempadan jarak— agak klise tapi alur cerita tiap satunya sangat cermat dan agak menarik sebab setiapnya tak hanya tertumpu kepada konflik cinta semata; ada antaranya bersifat adventur dengan latar sejarah dalam pertempuran politik dan kuasa, kejatuhan empayar dan peperangan. Leka sungguh dengan laras bahasa para penulis yang mewah kosakata dan pandai mencantum emosi dalam perspektif dan fragmen nostalgia setiap watak.
Kesemua cerpennya aku suka tapi ada beberapa yang jadi kegemaran utama— dua cerpen bersambungan karya Saharil Hasrin; Cinta Antara Api Al Quds dan Cinta Di Dasar Al Quds (tentang dua jiwa berlainan agama di bumi Palestine), Syair Bunga Dan Pasir tulisan SM Zakir (merentas definisi cinta ala Laila-Majnun di tanah Najd dalam redup pohon tamar dengan latar pertelingkahan puak), dua cerpen cinta tak kesampaian karya Faisal Tehrani; Irisan-Irisan Mimpi (sureal dan agak sedih) dan Rindu Ini Luar Biasa (suka subplotnya yang mengangkat tema sastera dan perjuangan bahasa; “Kalaupun langit runtuh, bahasa Melayu masih bernama di bumi kita ini. Hanya kiamat yang akan memusnahkan bahasa paling romantis dalam dunia ini.”) dan Cinta Menyala Di Constantinople tulisan Fahd Razy (helaian surat cinta dari sebalik tembok Theodosius dalam kemelut ekonomi dan kuasa di Turki).
Sebuah kompilasi yang bagus kalau nak cuba baca atau memang gemar dengan kumpulan cerpen. Lagipun hampir kesemua cerpen pernah tersiar di akhbar/majalah atau penyertaan untuk penulisan hadiah sastera jadi diksi bahasanya sedap dibaca, agak puitis dan klasik dengan struktur cerita yang sangat kemas. 5 bintang untuk naskhah ini!
“Aku bagaikan seekor helang emas yang kepatahan sayap ketika menyongsong angin mengejar kapal cintamu di kala-kala sengketa ini. Aku tidak tahu di daerah sepi mana aku telah rebah.”