Daripada judul dan blurb-nya boleh agak naratif INKUBUS berlegar sekitar hal mistik dan sureal. Prolog dan eksposisi plotnya agak misterius— buat aku ingin tahu lebih lanjut tentang watak Tamer; qarin yang setia mengikut jejak Tallulah ke mana pun dia pergi.
INKUBUS bermula dengan kisah Tallulah yang periang dan bijak namun dihadap perubahan emosi kerana mimpi puaka yang berturut-turut pada setiap malam. Perkenalan Tallulah dan Timour Amjad yang tak terjangka membibitkan rasa suka walaupun hubungan mereka tak digemari oleh Puan Wati, ibu Tallulah yang agak tegas dan bersifat mengongkong. Kerana mimpi anehnya, perhubungan Tallulah dan Amjad jadi renggang, Tallulah pasti dia mungkin disihir namun Tamer; qarin yang sentiasa memerhati dan Amjad sendiri tahu, perubahan Tallulah adalah kerana satu sebab yang lain.
Penceritaannya sekitar isu kekeluargaan dan hal perhubungan; agak deskriptif dan teliti dengan gubahan ayat yang mewah bahasa walau kadang agak meleret dengan kiasan dan ‘story filler’ yang tak penting. Fokus naratifnya lebih tertumpu pada hal psikologi; mitos sihir vs tekanan mental, kritik sosial, hal moraliti dan perspektif perubatan Islam dan moden. Gemar dengan watak Tamer dan bab adventurnya di alam ghaib; agak menarik bila penulis luaskan konteks plot Tamer dengan tujuan qarin dari sudut pandangan agama. Ada hal persahabatan yang diselit seadanya, dinamik Amjad yang banyak pengajaran walaupun kurang intens atau twist tapi cukup bagi impak dalam perkembangan naratif Tallulah.
Naskhah yang bagus kalau suka fiksyen gabungan tema psikologi, sureal dan dinamik keluarga; walaupun eksplorasinya ringan saja bagi aku tapi masih sarat moral dan refleksi realiti tentang isu meremehkan kesihatan mental. 3.8 bintang untuk INKUBUS!
Terima kasih penulis; Zul Azlin Razali untuk pemberian naskhah ini!