Novel bertema jenayah dan kekeluargaan berkisar tentang keluarga Pak Muhib yang tak sengaja terbunuh Murad yang masuk merompak rumah mereka dan hampir merogol Shida, anak sulung Pak Muhib. Saiful si anak lelaki yang bercita-cita mahu jadi detektif cuba cari jalan dan mencipta alibi supaya mereka sekeluarga tak tertangkap memandangkan ayah Murad ialah orang kenamaan dan belum tentu nasib baik bakal menyebelahi mereka walaupun pembunuhan itu adalah secara tak sengaja.
Idea misteri dan jenayah yang menarik walau kisahnya simple saja. Aku suka dengan babaknya yang intens, perkembangan naratifnya yang laju dan tanpa lewah. Hampir lebih separuh narasinya bercerita tentang perjalanan Pak Muhib dan Saiful menghadap pelbagai insiden dan kebetulan untuk lupuskan mayat Murad. Bermacam hal dan kadang menghiburkan-- tayar lori pancit, ada orang nak tumpang, ditahan penjenayah dan roadblock. Dinamik watak Saiful dan Pak Muhib amat bagus, karakter-karakter lain yang melatari keluarga Pak Muhib juga diselit seadanya oleh penulis walaupun ada yang menjengkelkan tapi buat aku terfikir; betullah, orang macam ni memang wujud pun.
Pengakhirannya aku suka (walau agak tergesa), cukup menjawab persoalan dan tak tergantung. Setiap orang ada maksud dan kepentingan sendiri-- ada yang sanggup menggadai nyawa dan nasib semata untuk orang tersayang, dan ada yang dalam diam punya dendam yang menunggu masa untuk dibalas. Satu kisah yang boleh diambil iktibar-- tentang kecuaian Mak Yam, sisipan masalah sosial pada watak Murad, tentang orang berkuasa yang bongkak dan ambil kesempatan juga kesan desakan hidup pada watak Pak Muhib, Hanis dan Jasin. 4.3 bintang untuk DIAM.