Bertemu Higashino lagi dalam naskhah 'standalone' tentang kes pembunuhan seorang guru di sebuah kota kecil di Jepun. Berlatar sekitar pandemik Corona, Kamio Takeshi, bekas ahli silap mata terkenal pulang setelah mendapat khabar kematian abangnya yang disyaki dibunuh.
Penceritaannya dari perspektif Mayo, anak saudara Takeshi yang sama membantu Takeshi dalam usaha mengumpul info dan petunjuk kepada kes kematian ayahnya, Eiichi. Perkembangan cerita agak perlahan dan terlalu deskriptif tapi aku suka dengan suasana bandarnya yang suram dan terpencil juga karakter-karakternya yang menggugah rasa ingin tahu. Motif dan pelakunya mudah diramal di pertengahan cerita namun aku tertarik nak tahu bagaimana Takeshi akan rungkaikan kes tanpa sebarang lompong dan buat pelaku tersepit dan mengaku. Rumit dan intens, tak sangka kerana sebuah reuni sekolah segala kisah silam, rahsia-rahsia persahabatan dan hal keluarga malah kehidupan Eiichi sendiri boleh buat dia hilang nyawa.
Suka dengan watak Takeshi (teringat watak Kaito Kid dalam Conan) yang tegar menyiasat dan pintar menghasut lawan bicara terutama dengan pasukan penyiasat polis, Maeda dan Kakitani. Karakter yang keras kepala, licik dan pandai berdalih-- cara penyiasatannya penuh rahsia dan ilmu silap mata, agak jengkel juga tapi sangat saspen dan setiap babak sentiasa ada twist yang buat aku ingin lebih tahu. Agak menarik bila ada satu bab dengan perspektif si pembunuh di penghujung cerita jadi boleh tahu kisah dari sudut yang lain juga.
Walau masih dalam acuan dan tema penyiasatan yang sama dengan buku-buku detektif Higashino yang lain, ideanya masih menarik bagi aku barangkali kerana ada kelainan pada karakter dan latar utama kali ini. Terjemahan juga agak bagus dan tahniah juga untuk penerbit yang pantas siapkan kerja terjemahan dan penerbitan naskhah ini. 5 bintang!
ps: berharap ini naskhah bersiri jadi boleh jumpa Kamio Takeshi lagi :'))